Rindunya pada baginda Rasulullah s.a.w tak terkata. Andainya baginda masih hidup di zaman ini nescaya baginda akan mengalirkan air mata melihat keadaan umatnya yang sudah jauh terpesong dari ajaran islam yang sebenar. Nauzubillah.. mintak dijauhkan!!
Jika anda semua boleh habiskan banyak masa untuk baca blog hiburan yang memaparkan artis-artis yang seksi, menonton filem-filem melayu yang seperti dah cerita omputeh, apa salahnya luangkan sedikit masa untuk baca artikel ni, berkenaan dengan keindahan fizikal Rasul kita yang tiada tolak bandingannya jika dibandingkan dengan semua orang diatas muka bumi ini.
Seperti kata Imam Muda Azhar dalam ceramahnya semalam, untuk mencintai Rasul, kenali baginda dengan sebaik-baiknya. Cinta dan sayang itu akan datang, bukan sekadar cinta yang lahir dari mulut tapi cinta yang betul-betul ikhlas yang lahir dari hati.
jom, kita kenali fizikal Rasullullah s.a.w :
Berikut ini saya petik beberapa hadith yang menerangkan
ciri-ciri fizikal insan yang kita telah banyak terhutang budi dengannya, insan
yang kita cinta, insan yang kita kasih, insan yang kita ikut, iaitu Rasulullah
sallAllahu `alaihi wasallam.
Hadith-hadith ini telah saya salin dari kitab yang sangat
terkenal iaitu kitabSyama’il Muhammadiyah (kesempurnaan Nabi Muhammad) yang
disusun oleh Imam at-Tirmidzi. Kitab ini
menyenaraikan sifat-sifat fizikal, sifat-sifat akhlaq dan cara kehidupan Nabi
Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam secara agak terperinci.
Hadith 1:
Jabir bin Samurah
radhiAllahu `anhu berkata:
“Aku melihat
Rasulullah pada suatu malam yang diterangi bulan purnama. Pada waktu itu,
Baginda memakai pakaian berwarna merah. Aku memandang Baginda dan bulan silih
berganti. Bagiku, Baginda lebih indah daripada bulan purnama”
(HR at-Tirmidzi)
Hadith 2:
Anas bin Malik
radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah bukanlah
orang yang terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak
putih pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting
dan tidak juga lurus. Baginda diutus
oleh ALLAH menjadi Rasul pada usia empat puluh tahun. Baginda diwafatkan oleh ALLAH dalam usia enam
puluh tahun, dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala
dan janggutnya.”
(HR al-Bukhari,
Muslim, at-Tirmidzi)
Hadith 3:
Anas bin Malik
radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah adalah
seorang yang mempunyai tubuh yang sedang, tidak tinggi dan tidak rendah, bentuk
tubuhnya bagus. Rambutnya tidak
kerinting dan tidak lurus. Warna kulit
Baginda putih kemerahan. Jika berjalan,
pergerakannya condong ke hadapan.”
(HR al-Bukhari dan
at-Tirmidzi)
Hadith 4:
Al-Bara’ bin `Azib
radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah merupakan
seorang lelaki yang bertubuh sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu
rendah), jarak antara kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang). Rambut yang lebat terurai ke bahu sampai ke
telinganya. Apabila Baginda memakai
pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan
daripadanya.”
(HR at-Tirmidzi,
al-Bukhari, Muslim, Abu Daud)
Hadith 5:
Al-Bara’ bin `Azib
radhiAllahu `anhu berkata:
“Aku tidak pernah
melihat orang yang memiliki rambut yang menyentuh sehingga bawah telinga
(antara cuping telinga dan bahu), dengan memakai pakaian yang berwarna merah,
yang lebih tampan daripada Rasulullah.
Baginda memiliki rambut yang mencecah kedua-dua bahunya. Kedua-dua belah bahu Baginda bidang. Baginda bukanlah seorang yang rendah dan
bukan juga tinggi.”
(HR Muslim, Abu Dawud
dan at-Tirmidzi)
Hadith 6:
Ali bin Abi Talib
radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah tidak
tinggi dan tidak rendah. Telapak tangan
dan kakinya terasa tebal (dagingnya) namun lembut. Kepalanya besar, tulang sendi besar. Terdapat bulu yang jelas dari dada sehingga
pusatnya. Apabila Baginda berjalan,
pergerakannya condong ke hadapan seolah-olah sedang turun dari tempat yang
tinggi. Tidak pernah aku lihat orang
yang setanding dengan Baginda, samada sebelum (Baginda lahir) mahupun selepas
(Baginda meninggal dunia)”
(HR at-Tirmidzi)
Hadith 7:
Ali bin Abi Talib
radhiAllahu `anhu bercerita tentang sifat Rasulullah sallAllahu `alaihi
wasallam:
Rasulullah tidak
terlalu tinggi dan tidak juga terlalu pendek.
Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya. Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak
juga lurus kaku, melainkan ikal beralun.
Badannya tidak gemuk, bentuk wajahnya tidak bulat, tetapi bujur telur.
Kulitnya putih
kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan
bulu matanya lentik. Tulang sendinya
gagah, bahunya bidang. Badannya bersih
daripada bulu dan rambut, tetapi mempunyai bulu yang memanjang dari dada sampai
pusat. Telapak tangan dan kakinya terasa
tebal.
Apabila Rasulullah
berjalan, pergerakannya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan),
seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi. Apabila Baginda berpaling, kedua-dua bahunya
berpaling serentak (seluruh badannya turut berpaling). Di antara kedua-dua bahunya, terdapat
khatamun-nubuwwah, iaitu tanda kenabian nabi.
Rasulullah merupakan seorang manusia yang hatinya paling pemurah. Baginda adalah orang yang kata-katanya paling
jujur.
Manusia yang
perangainya paling lembut dan paling ramah dalam pergaulan. Sesiapa yang melihatnya buat kali pertama,
pasti akan menaruh rasa hormat dan segan kepadanya. Sesiapa yang berkenalan dengan Baginda tentu
nanti akan mencintainya. Orang yang
menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata “Belum pernah aku melihat
seseorang yang setanding dengannya, samada sebelum kelahirannya ataupun sesudah
Baginda meninggal dunia.”
(HR at-Tirmidzi)
Hadith 8:
Hasan bin Ali
berkata, “Aku pernah bertanya mengenai sifat Rasulullah kepada pakcikku yang
bernama Hind bin Abu Halah (yang memiliki nama samaran Abu `Abdullah). Hind bin Abu Halah adalah orang yang banyak
mengetahui sifat Rasulullah. Aku sangat
berharap Hind dapat menceritakan beberapa sifat Rasulullah kerana aku mahu
mencontohi Baginda. Inilah yang
dikisahkan oleh Hind:
“Rasulullah adalah
seorang lelaki yang berwibawa. Wajahnya
cerah berseri bagaikan rembulan yang bersinar pada malam hari. Baginda lebih tinggi daripada orang yang
sederhana dan lebih rendah daripada orang yang tinggi. Kepalanya besar (padan dengan dadanya yang
bidang dan tubuhnya gagah).
Rambutnya
beralun. Apabila rambut bahagian
depannya terurai, Baginda membuat belahan dua.
Jika tidak membelah dua, hujung rambutnya dibiarkan sampai cuping
telinga, namun tidak melepasi had itu.
Rasulullah menjadikan rambutnya sebagai wafroh (rambut tidak lebih
telinga). Warna kulitnya putih
kemerah-merahan.
Dahinya luas. Keningnya panjang melengkung bagaikan dua
busur panah yang terpisah. Di antara
kedua-dua keningnya, ada urat yang kelihatan memerah ketika sedang marah. Hidung Rasulullah mancung, di hujung
hidungnya ada cahaya yang memancar, sehinggakan orang yang melihatnya betul-betul,
akan menyangka hidung Baginda lebih mancung (daripada yang sebenarnya).
Janggutnya tebal,
kedua-dua pipinya mulus, mulutnya lebar.
Giginya agak jarang, namun teratur rapi.
Bulu dadanya halus. Lehernya
indah, tegak dan kuat.
Bentuk tubuhnya sederhana,
badannya berisi seimbang, perut dan dadanya sama rata. Dadanya lebar, kedua-dua bahunya bidang dan
tulang sendinya besar. bahagian badannya
yang tidak ditumbuhi rambut kelihatan bersih bercahaya.
Dari pangkal leher
sampai pusat, bulu yang tebal tumbuh seperti garisan. Kedua-dua puting susu dan perutnya
bersih. Kedua-dua bahu dan dada bahagian
atas berbulu halus.
Kedua-dua ruas tulang
tangannya panjang, telapak kakinya lebar.
Kedua-dua telapak tangan dan kakinya terasa tebal, jari-jarinya panjang,
lekukan telapak kakinya (bahagian tengah) tidak menyentuh tanah. Kedua-dua kakinya halus sehingga air tidak
melekat di kulit kakinya.
Apabila Rasulullah
berjalan, kakinya diangkat dengan kesungguhan.
Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang dan
tawadhu`. Jika Baginda berjalan,
pergerakannya cepat seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang
tinggi. Apabila dipanggil, Baginda akan
memalingkan kedua-dua bahunya serentak.
Pandangan matanya
terarah ke bawah. Baginda menundukkan
kepala menatap ke arah bumi lebih lama daripada memandang ke langit.
Apabila ada sahabat
berjalan, Rasulullah akan berjalan di belakangnya. Apabila bertemu dengan orang lain, Baginda
yang akan terlebih dahulu memberi salam.”
(HR at-Tirmidzi)
Semoga ALLAH mengurniakan rasa cinta dan upaya kepada kita
semua untuk ikut sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam. La haula wa la quwwata illa biLLAH.
p/s ~ semua hadith-hadith yang menceritakan berkenaan dengan sifat fizikal Nabi Muhammad s.a.w Nurul copypaste dari blog SHAHMUZIR. semoga mendapat mafaaat untuk kita semua.. :)
Salam Maulidur Rasul untuk semua.. :)
SubhanaAllah..rasa semakin rindu pada Rasulullah. Ya Allah semoga kita dapat berjumpa dengan Rasulullah, kekasih Allah yang indah ini. Allahhuakbar.
ReplyDelete